google02364baa11558276.html Sistem BRT diwujud 2018
top of page

Sistem BRT diwujud 2018

JOHOR BAHRU 24 Mac - Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) akan mewujudkan sistem Bus Rapid Transit (BRT) menjelang 2018 bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam di kawasan Iskandar Malaysia.

Ketua Eksekutif PAIM, Mohd. Gadaffie Abd. Aziz berkata, sistem yang akan mengkhususkan satu lorong khas untuk kegunaan bas itu bertujuan melancarkan pergerakan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Katanya, perkhidmatan itu akan berhenti di beberapa perhentian yang dikhaskan dan bas perantara akan disediakan bagi memudahkan pengguna.

"Konsep yang digunakan adalah sama seperti perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), cuma kita tidak menggunakan rel kereta api sebaliknya menggunakan bas.

"Setiap perhentian LRT biasanya akan disediakan perkhidmatan bas perantara dan kita akan gunakan cara yang sama. Sebagai contoh, apabila bas berhenti di Kip Mart, Tampoi, kita akan sediakan bas perantara bagi pengguna yang ingin meneruskan perjalanan di dalam kawasan perumahan sekitar Kip Mart," katanya selepas majlis perasmian Karnival TransIskandar di pekarangan Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini hari ini.

Karnival yang dianjurkan sempena Minggu Pengangkutan Awam 2013 menyediakan pelbagai acara untuk para pengunjung termasuk pertandingan bola jalanan, bola tampar, bola keranjang selain persembahan pasukan sorak dan pelbagai acara sampingan. Seramai 200 peserta menyertai pertandingan mencari harta karun di dalam kawasan Iskandar Malaysia dengan menggunakan perkhidmatan bas henti-henti.

Mohd. Gadaffie berkata, pada waktu ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi menentukan kadar tambang bagi setiap laluan yang bakal ditetapkan.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang berusaha meningkatkan kualiti prasarana termasuk menambah baik kualiti perhentian bas untuk keselesaan pengguna pada masa akan datang.

From : Utusan


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
No tags yet.
bottom of page